Wednesday, September 22, 2021

Bukan mustahil kita dapat keluar daripada ancaman Covid-19

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Tidak mustahil, kita boleh berjaya (melandaikan kes Covid-19) sekali lagi,” demikian ungkapan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena genap setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa lelah dalam memerangi Covid-19, serta rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai usaha melandaikan kes wabak itu.

Oleh itu, Ismail Sabri menyeru warga Malaysia supaya bekerjasama serta kekal mematuhi SOP yang ditetapkan dan yakin menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, trend kes akan menurun lagi untuk beberapa bulan akan datang.

“Kita pernah berjaya melandaikan kes menjadi sifar sebelum ia kembali meningkat pada Disember tahun lalu. Maka, tidak mustahil kita boleh berjaya sekali lagi. Untuk berjaya, kita harus berganding bahu, bekerjasama untuk melandaikan pandemik ini.

“Kita masih berjuang dan akan terus berjuang memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita… dengan kepatuhan semua kepada SOP, kita akan menang,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, semalam seperti dipetik Bernama.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) di kilang YTY dan asrama pekerja di Lekir, Setiawan, Perak bermula esok hingga 1 April.

Beliau berkata pelaksanaan itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

“Sehingga 14 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 162 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 60 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru