Thursday, December 9, 2021

Wanita disaran bina keupayaan diri dengan ilmu dan kemahiran

Secara Rawak

KUCHING: Walaupun mempunyai akses kepada pendidikan, kemajuan dunia tanpa sempadan dan terlibat dalam pelbagai sektor pembangunan negeri, wanita Sarawak masih berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, masih wujud stigma dalam kalangan masyarakat yang membataskan penglibatan wanita dalam bidang tertentu.

“Ada di antara wanita Sarawak masih dibelenggu dengan isu seperti kemiskinan, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak yang didapati meningkat semasa pandemik COVID-19.

“Masih wujud stigma dan stereotyping yang membataskan keterlibatan wanita Sarawak dalam bidang tertentu.

“Suara wanita masih belum benar-benar didengar kerana masih ramai yang prejudis dengan hasrat murni wanita untuk sama-sama membangun negeri yang kita cintai ini,” katanya semasa Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 Sarawak (HWA21) bertemakan ‘Choose to Challenge’ atau Wanita Bangkit Mendepani Cabaran di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Menurut Dato Sri Fatimah, walaupun wanita telah diberi kepercayaan untuk memimpin, namun bilangan mereka masih terlalu kecil dan secara realitinya penyertaan wanita dalam membuat keputusan di negeri ini masih rendah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua wanita Sarawak agar terus berusaha bersungguh-sungguh membina keupayaan diri dengan ilmu dan kemahiran.

“Wanita Sarawak juga harus mempunyai kualiti peribadi unggul, berani, berdaya tahan, fleksibel, bijak mengatasi tekanan dan bangkit mendepani cabaran selari dengan tuntutan era digital.

“Bagi mereka yang berdepan dengan diskriminasi, mereka yang mengalami penderaan, sila tampil, berjuang dan ciptakan peluang anda sendiri untuk mempunyai kehidupan yang bermakna untuk anda,” jelas beliau.

Beliau juga menyeru rakan-rakan dalam kerajaan, sahabat-sahabat dalam perkhidmatan awam, penggubal dan pelaksana dasar Negeri Sarawak agar menjiwai dan mempraktikkan kesaksamaan dan kesetaraan gender. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru