Saturday, October 23, 2021

Rakyat Malaysia perlu dibenarkan kekalkan identiti masing-masing

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Tatkala dunia sedang menelusuri arus globalisasi, amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mengekalkan identiti serta jati diri, dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata, sesuai dengan frasa ‘perpaduan dalam kepelbagaian’, setiap rakyat di negara ini perlu kekal dengan budaya kaum masing-masing dan tidak seharusnya dipaksa mengamalkan budaya kaum lain.

“Kita nak sesuatu yang kita panggil ‘rojak’, walaupun perkataan itu satu yang negatif, tetapi sekarang bila dah ada persekitaran global, di mana semua orang hampir kehilangan identiti mereka, perlunya untuk kita kekalkan identiti itu, kerana ia lebih berharga.

“Bagi saya, kita mempunyai ‘rojak’ ini, dan setiap daripada kita perlu mengekalkan budaya itu.

“Orang Melayu dengan budayanya, orang Iban dengan budayanya dan tidak ada paksaan untuk orang Melayu menjadi orang Cina dan sebaliknya atas nama Malaysia.

“Yang kita kena kekalkan ialah kita sebagai rakyat Malaysia. Bersatu dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), bertajuk ‘Dasar Perpaduan Negara 2021-2030: Realitinya’ bersama menterinya Datuk Saifuddin Abdullah, yang disiarkan di Facebook Live KKMM, saluran TV1 RTM dan Bernama TV malam tadi seperti dipetik Bernama.

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru