KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 44 individu, termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik, yang disyaki terlibat melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan, di beberapa negeri sejak semalam.

Sumber SPRM berkata kesemua mereka yang ditahan dalam Operasi Sukat secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

Menurutnya antara modus operandi sindiket ini adalah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

“Mereka dipercayai menerima antara RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.6 juta,” kata sumber itu.

Difahamkan, pegawai JPJ berkenaan melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam merupakan proksi.

Sumber itu yang dipetik Bernama  berkata kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020.

Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan kesemua penahanan itu.

Beliau berkata operasi itu adalah hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan berkenaan.

“Ketika ini siasatan masih berjalan dan kami tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi tangkapan,” katanya dan menambah tumpuan siasatan adalah kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta melibatkan isu salah laku.

“Kami cuba untuk melakukan siasatan secepat mungkin,” katanya lagi seperti dipetik Bernama.