PADAWAN: Keseronokan empat lelaki bermain judi mahjong terbantut apabila mereka diserbu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kesemua mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Batu Kawa pada lebih kurang jam 9.10 malam tadi.

“Mereka bermain judi mahjong di rumah salah seorang suspek yang dipercayai selaku penganjur.

“Rumah itu turut didiami isteri dan anak suspek dan suspek mengaku menjadikan rumahnya tempat bermain judi mahjong bersama kawan-kawannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kegiatan mereka itu bermula sejak dua minggu lalu, dari petang sehingga malam.

Aidil menambah pasukan serbuah turut merampas wang tunai berjumlah Rm3,960 termasuk peralatan bermain judi mahjong.

Katanya kesemua suspek berusia 52 hingga 55 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.