KUALA LUMPUR: “Hukumlah diri sendiri, Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat-melompat,” tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini

“Hanya mereka yang melompat dengan niat yang tidak ikhlas bersama Pas sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli Pas yang setia tetap tidak akan patah semangat,” katanya.

Dalam catatan Minda Presiden di Facebooknya  pada Rabu, Abdul Hadi meminta pihak-pihak berkenaan menghukum diri sendiri jika ada pihak yang keluar parti.

Beliau meminta agar Pas tidak dihukum sekiranya ada pihak yang keluar atau menyertai parti itu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat parti yang berlaku.

Jelas  Hadi , Pas sentiasa membuka pintu dan menerima semua pihak yang mahu masuk dan keluar daripadanya, bahkan menjadi tempat persingahan sementara buat pemimpin parti yang dipecat daripada parti masing-masing.

Abdul Hadi juga menyifatkan mereka yang bertindak keluar Pas disebabkan gagal dalam proses tarbiahnya.

Beliau juga menyifatkan tindakan keluar parti yang dilakukan golongan tersebut ibarat “menyembuhkan penyakit” dalam Pas, iaitu sikap tidak sabar dan menginginkan kemenangan secara gopoh.

“Maka, Pas tidak menjadikan lompat parti sebagai suatu perkara yang boleh menghalang perjalanannya. Hal yang demikian kerana, mereka yang melompat keluar itu gagal berintegriti, manakala pendatang baharu pula dapat menyesuaikan diri bersama Pas.

“Namun, mereka yang gagal proses tarbiahnya selepas itu, biarkan dirinya melompat keluar lagi sehingga patah kaki.

“Pas akan tetap selamat, selagi Islam menjadi jasad dan rohnya,” katanya lagi.