KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat, sebaliknya mengukuhkan blok pembangkang susulan laporan bahawa kemungkinan akan terjalin kerjasama dengan Umno menjelang PRU-15.

Kleptokrat merujuk kepemimpinan atau pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menggelapkan wang rakyat bagi kepentingan diri, keluarga dan kroni bagi mengkukuhkan hegemoni politik mereka.

“Kami menyeru Anwar mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat. Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas ini,” kata Pemimpin Amanah, DAP, Muda, Warisan dan PSB.

“Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua,” katanya.

Kenyataan bersama  itu dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong, pengasas Muda Syed Saddiq Abdul Rahman, Baru Bian dari PSB dan Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman.

Tatkala, PN gagal menzahirkan kemampuan dan iltizam, blok pembangkang perlu bersama-sama menunjukkan suri teladan kepemimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan,” kata kenyataan itu.