KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak tidak memerlukan seorang pengerusi baharu pada waktu ini, sebaliknya memilih untuk diterajui oleh “Council of Elders” buat sementara waktu.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata keputusan tersebut dibuat melalui konsensus.

“Pada waktu kini, Keadilan Sarawak tidak memerlukan seorang pengerusi baharu tetapi memerlukan perpaduan dan kerjasama yang baik di kalangan ahli dan pemimpin parti.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua anggota PKR Sarawak kerana sedikitpun tidak goyah dengan pengkhianat yang keluar dari parti dalam masa setahun lebih ini.

“Sebaliknya PKR Sarawak mengambil iktibar untuk terus bekerja dengan lebih kuat untuk membantu rakyat akar umbi dan bersiap menghadapi pilihan raya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan PKR Sarawak bukan sebuah organisasi yang bergantung kepada personaliti atau populariti seorang dua pemimpin tetapi adalah sebuah organisasi yang digerakkan oleh akar umbi.

“Berbeza dengan pemimpin dulu, pucuk pimpinan kini lebih fokus kepada melatih ahli akar umbi dan membangunkan kempen yang berasaskan manifesto serta menggerakkan Cabang Keadilan di seluruh Sarawak melalui aktiviti kebajikan,” katanya.

Menurut Abang Zulkifli, dari Lundu hingga ke Lawas, PKR Sarawak diwakili oleh kumpulan aktivis dan akar umbi yang gigih berkhidmat menjaga kebajikan masyarakat dan memperkukuhkan perjuangan keadilan yang tulen.

Malah, katanya ramai pejuang dan pemimpin akar umbi Keadilan Sarawak selama 20 tahun masih kekal kuat bersama parti.