LAHORE:  Bagaimanakah anda  menyambut majlis perkahwinan dengan bergaya dan berlainan daripada orang lain?

Empat beradik di Pakistan sanggup  menyewa sebuah helikopter untuk menaburkan wang kepada para tetamu dari udara.

Rakaman video yang tular menunjukkan majlis perkahwinan itu meriah dengan kehadiran tetamu.

Perkara itu menarik perhatian tetamu dan penduduk di sekitar.

Majlis yang melibatkan keluarga Rana  diadakan di daerah Punjab minggu lepas, lapor media tempatan.

Rana Ibrar Hussain,  merupakan anak bongsu keluarga tersebut yang menetap di Pakistan sementara keluarga telah tinggal di Itali sejak 20 tahun lalu, lapor Gulf News.

Bagi menjadikannya majlis itu sebagai acara dikenang seumur hidup, mereka menyewa helikopter dengan  kos 1.8 juta Rupee Pakistan (kira-kira RM47,160).

Menurut penganjur majlis, Mubashar, kira-kira 2 juta Rupee Pakistan dalam bentuk dolar AS dan mata wang Euro ditabur ke atas tetamu.