KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) pada 12 Mac lalu pada paras RM4,193 permetrik tan,  harga tertinggi sejak 13 tahun iaitu pada Mac 2008 lalu,  kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali.

Menurut beliau,  harga buah tandan segar (BTS) di Semenanjung melepasi paras RM900 satu tan sedangkan setahun dahulu hanya sekitar RM300 sahaja.

Susulan itu, kata beliau nanti akan ada yang nakal mengulas ‘buah mengurang YB walaupun harga tinggi’.

“Saya katakan, inilah tanda kekufuran dan keingkaran nikmat Tuhan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

“Bagaimana jika buah mengurang dan harga pula rendah? Ungkapan mereka yang bersyukur ialah: ‘alhamdulillah harga tinggi walaupun buah berkurang’,” katanya lagi.

Katanya lagi, akan ada pula yang mengulas, ‘buat apa harga naik kerana harga minyak masak pun naik di pasaran tempatan’.

Katanya, purata sebanyak 19 juta tan setahun minyak dipasarkan di pasaran antarabangsa yang memberi untung kepada hampir 500,000 keluarga pekebun kecil atau lebih tiga juta rakyat Malaysia.

Menurutnya, hanya satu juta tan untuk kegunaan dalam negara.

Jelas beliau lagi, sebanyak 700,000 tan atau 700 juta pek pula dijual dengan harga subsidi oleh kerajaan menerusi pek satu kilogram dengan RM2.50 dan hanya 300 tan untuk minyak pek dua kilogram dan lima kilogram.