PADA 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekali gus memastikan pembabitan secara signifikan dan menyeluruh golongan muda.
Dijangkakan ini akan menambah hampir tujuh juta pengundi muda menjadikan jumlah pemilih kepada 22 juta menjelang Julai tahun ini.

Pada Rabu, Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim memaklumkan kelayakan mengundi pada PRU di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Apakah alasan beliau? Pelaksanaan tindakan itu memerlukan perancangan komprehensif yang menuntut komitmen pelbagai agensi kerajaan, swasta, parti politik, dan badan bukan kerajaan untuk menyumbang idea dalam merangka polisi dan program yang menyokong pelan tindakan itu. Beliau berkata pelaksanaannya tidak praktikal, malah tergesa-gesa, selain mendakwa anak muda belum bersedia di sisi tuntutan demokrasi. Betulkah dakwaan beliau itu?

Kalaulah benar ia tidak dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat seperti yang dijanjikan, tentu ia akan memberi kesan dan implikasi tertentu terhadap kerajaan dan amalan demokrasi di negara ini. Golongan yang menyokong dan generasi muda akan mempunyai tanggapan negatif terhadap kerajaan.

Mereka tentu akan mempertikaikannya, malah jangan salahkan mereka jika mereka bertanya, adakah itu sekadar dalih atau alasan? Ini sekali gus akan menghakiskan kredibiliti kerajaan dan institusi yang telah diamanahkan untuk memastikan kejayaannya.

Adakah tindakan itu diambil kerana pengundi muda dianggap tidak berpihak kepada kerajaan, maka ia perlu ditangguhkan? Jangan sampai golongan muda beranggapan langkah itu disengajakan untuk memberi kelebihan kepada kerajaan.

Hak anak muda tidak harus dinafikan. Seperti rakyat lain, mereka juga mempunyai hak untuk menentukan hala tuju dan masa depan negara. Sesungguhnya, memang terdapat keperluan serius untuk melaksanakan undi 18 sebelum PRU-15. Kejayaan usul berkenaan mendapat sokongan padu di Parlimen membuktikan bahawa wakil rakyat terbabit faham akan kepentingan undi golongan terbabit.

Namun kini, wujud semacam usaha untuk menggagalkan undi 18 automatik ini yang hakikatnya telah diluluskan setelah dipinda Perlembagaan dengan majoriti besar yang menyokong. Harus juga diingat, sebanyak 32 parti politik berdaftar di negara ini bersetuju dengan cadangan menurunkan umur layak mengundi itu. Ini merupakan langkah ke hadapan dari segi demokrasi dan kematangan politik.

Adakah negara kita terkebelakang dari segi pelaksanaan pengundi berusia 18 tahun? Ya, kalau kita bandingkan dengan negara Barat atau Eropah. Sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas.

Selepas dekad tersebut, terdapat langkah konkrit banyak negara terbabit untuk menurunkan had umur mengundi. Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70), Eropah Barat (1970-an), Amerika Syarikat (1971), Kanada, Jerman (1972), Australia, Perancis (1974), diikuti India, Pakistan, New Zealand. Negara Afrika dan Asia kebanyakannya melakukannya pada dasawarsa 1980-an.

Seyogia diingat, ketika ini, dalam kalangan negara Asean, hanya Malaysia dan Singapura yang masih menetapkan had mengundi pada usia 21 tahun. Manakala Indonesia misalnya, menetapkan had mengundi pada usia 17 tahun, manakala Argentina, Austria dan Brazil serendah 16 tahun.

Negara seperti Kuwait, Lebanon, Oman, Singapura, Samoa Island, Tonga, Emiriah Arab Bersatu masih mengamalkan umur mengundi 21 tahun dan jika diteliti. Namun, hampir kesemua negara terbabit dalam proses untuk mencadangkan agar umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Benarkah usia 18 tahun terlalu awal dan tidak cukup matang? Persoalannya, bagaimana mungkin remaja kita dapat mencapai tahap kematangan politik jika mereka tidak diberi kesempatan untuk terbabit aktif dalam politik dan memahami erti demokrasi?

Hakikatnya, apabila mereka yang berusia 18 tahun boleh mengundi kelak, mereka akan menjadi aset kepada parti politik untuk mendapat undi dan sokongan. Parti politik sudah pasti akan berusaha melalui pelbagai strategi politik untuk mendapatkan sokongan golongan ini. Sudah tentu hanya parti politik yang memahami aspirasi mereka, dapat memenuhi tuntutan mereka serta bijak mengambil hati mereka dari segi ideologi , dasar perjuangan dan aktiviti akan mendapat sokongan golongan muda.

Kita perlu sedar bahawa 18 tahun ialah usia dewasa, malah menurut Akta Umur Dewasa 19721, rakyat Malaysia sudah dianggap dewasa pada usia 18 tahun di sisi undang-undang.
Bukankah mereka yang berusia 18 tahun sudah dibenarkan untuk menandatangi kontrak dan dianggap sebagai orang dewasa di mahkamah?

Bukankah mereka ini sudah dibenarkan untuk berkahwin dari segi undang-undang, dibenarkan untuk memperoleh lesen memandu, dan menyertai Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM? Jadi, mengapa apabila tiba kepada isu mengundi mereka disifatkan tidak layak dan belum lagi matang?

Sesungguhynya, suara orang muda amat diperlukan kerana mereka turut terkesan oleh sebarang dasar yang digubal oleh wakil rakyat dan kerajaan. Justeru, mereka perlu dibabitkan dalam urusan berkaitan dengan merumus dasar yang secara langsung memberi kesan kepada mereka.

Hak mengundi perlu diberi kepada mereka yang turut berfungsi sebagai anggota masyarakat.

Yang penting sekarang adalah untuk meningkatkan kesedaran politik dan tahap celik politik mereka melalui proses pendidikan politik dan sosialisasi politik. Perkara ini tidak harus hanya diserahkan kepada agensi dan institusi berkenaan seperti SPR semata-mata.

Berdasarkan pengalaman, tidak banyak golongan muda berusia sekitar 18 tahun berminat dalam politik. Sesetengah mereka menganggap politik itu kotor dan tiada kaitan dengan mereka. Mengapa fenomena ini terjadi? Adakah kerana kegagalan kita dari segi sosialisasi dan pendidikan politik?

Tugas dan tanggungjawab ini turut terletak di bahu semua pihak, termasuk sistem pendidikan, ibu bapa, media, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin pendapat dan ketua masyarakat.

Strategi promosi, pendidikan dan publisiti yang berkesan dalam memahami politik, sejarah negara, perlembagaan dan isu-isu berkaitan pilihan raya amat penting ditekankan agar pengundi muda tidak sekadar terpengaruh oleh naratif dan wacana politik melalui media sosial atau media baharu.

Mereka perlu mendapat pemahaman politik dan isu sosiopolitik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya dengan betul. Mereka tidak boleh terpengaruh oleh naratif politik yang sendeng dan berat sebelah yang dikuasai emosi yang melampau.

Keputusan yang betul penting bagi menentukan hala tuju dan masa depan negara. Kita menuntut pengundi muda yang matang, berintegriti dan bertanggungjawab. Masa depan negara juga terletak di bahu mereka.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara