Wednesday, September 22, 2021

Rumah separuh kekal di Ulu Pasai Siong hangus

Mesti baca

SIBU: Sebuah rumah dua tingkat terbakar dalam kebakaran di Ulu Pasai Siong, petang Ahad.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak menerusi kenyataannya memberitahu, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima jam 3.14 petang.

“Sepasukan lapan anggota diketuai oleh PBK II Joseph Balon bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur separuh kekal dua tingkat  telah terbakar 90 peratus,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan  jiwa kerana semasa kejadian semua tujuh penghuni tiada di rumah.

“Pasukan menggunakan dua aliran 100 kaki dua nozel untuk mengawal dan memadamkan kebakaran tersebut.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.43 petang dan kerja-kerja overhaul dijalankan. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya jam 5.28 petang,” ujarnya. 

Secara Rawak

Artikel Terbaru