Tuesday, May 11, 2021

Program Vaksin: Lebih sejuta rakyat Sarawak daftar diri

Mesti baca

KUCHING: Lebih sejuta rakyat Sarawak telah mendaftar diri di bawah Program Imunisasi Covid-19 sejak dilancarkan bulan lalu.

Kini Sarawak sedang dalam fasa pertama program itu melibatkan petugas barisan hadapan.

“Seramai 1,033,643 rakyat Sarawak telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 setakat ini, terima kasih kepada anda semua,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sri Dr Sim Kui Hian.

Melalui satu hantaran di akaun rasmi Facebooknya, Dr Sim berkata, daripada jumlah itu, 615,208 rakyat Sarawak telah mendaftar di Pejabat Residen di seluruh negeri, manakala 418,435 orang lagi menerusi aplikasi MySejahtera.

Jelasnya,  jumlah lebih sejuta yang disasarkan di negeri ini adalah  bagi memastikan negeri ini mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus atau dua juta rakyat Sarawak menerima vaksin.

“Setakat ini, vaksin menunjukkan hanya sesuai untuk mereka berusia 18 tahun dan ke atas  — 99 peratus rakyat  negeri ini berusia 18 tahun dan ke atas harus diberi vaksin bagi mencapai kekebalan kelompok,’ kata beliau yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Kita mahu vaksinasi ini dijalankan secepat mungkin dan seramai mungkin, bukan hanya untuk menurunkan kes harian kita tetapi juga mencegah mutasi Covid-19 ke varian lain,” katanya lagi.

Katanya, Kerajaan Negeri harus meneruskan kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkaitan akses penghantaran vaksin dan alternatif lain.

Secara Rawak

Artikel Terbaru