KUCHING: Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia dikategorikan sebagai sederhana, yang kini pada tahap 63.1 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata indeks ini menunjukkan pengguna di negara ini masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak-hak sebagai pengguna.

Menurutnya, KPDNHEP telah membangunkan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan pengguna, antaranya Aplikasi Price Catcher.

“Aplikasi ini adalah untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang berpatutan,” katanya sempena Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan 2021, hari ini.

Selain itu, katanya adalah aplikasi MySales Tracker untuk memberikan kemudahan kepada pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah di sekitar lokasi pengguna.

Alexander menambah KPDNHEP turut menyediakan sembilan saluran aduan untuk pengguna menyalurkan sebarang isu berkaitan kepenggunaan.

Malah, katanya Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) merupakan satu platform alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna menfailkan tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan.

Katanya bagi tempoh 2015 sehingga Februari 2021, terdapat sebanyak 32,550 kes pemfailan telah direkodkan yang melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM176,035,149.10.

“Segala usaha dan inisiatif kementerian ini hanya akan menjadi berkesan sekiranya pengguna turut memainkan peranan.

“Oleh itu, marilah kita berganding bahu bekerjasama bagi melindungi hak sebagai pengguna,” katanya.