KUCHING: Shell membuat keputusan untuk meneroka pilihan melupuskan kepentingan tidak beroperasinya dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Baram Delta EOR Pindaan 2011 dan PSC SK 307 di Sarawak sebagai sebahagian rasionalisasi portfolio global berterusan.

Shell berkata pada Jumaat, kedua-dua aset di luar pesisir Sarawak itu dikendalikan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd manakala Sarawak Shell Bhd merupakan rakan perniagaan bukan operasi.

Tambahnya, keputusan berkenaan tepat dengan strategi Shell Group bagi perniagaan huluannya menjadi lebih fokus selain meningkatkan daya tahan dan daya saingnya.

“Shell Malaysia kekal komited untuk menyokong aset melaksanakan operasi yang lancar dan selamat sehingga muktamadnya penjualan kepada pembeli yang berkredibiliti.

“Malah Malaysia kekal sebagai negara yang penting kepada Kumpulan Shell dengan pembabitan berterusannya dalam sektor huluan, gas ke cecair, hiliran dan operasi perniagaan,” katanya.

Menurutnya lagi, perniagaan huluan di Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu sembilan Unit Prestasi Teras kepada Shell Upstream di seluruh dunia.

“Shell menjadi rakan pertumbuhan negara ini sepanjang 130 tahun operasi di Malaysia, menyumbang kepada kejayaan industri tenaga, pembangunan bakat tempatan dan komuniti.

“Syarikat akan terus memainkan peranan penting dalam menjana masa depan Malaysia dengan penyelesaian tenaga yang lebih bersih, inovatif dan kompetitif,” ujarnya.