KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan kemasukan vaksin menyuntik semula perkembangan ekonomi negara dan apa yang penting turunkan kadar pengangguran.

Katanya, vaksin sudahpun dibawa masuk ke negara ini dan ramai antara barisan hadapan negara termasuk pemimpin kerajaan telah diberi suntikan.

“Kita harap ekonomi negara dapat dicorakkan semula,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau mengimbas suasana Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang sebelum kehadiran Covid-19 ke negara ini, ia hidup dengan pelbagai kegiatan ekonomi dan digelar Segi Tiga Emas di ibu negara.

“Kenapa digelar segi tiga emas? Kerana ia lubuk pelbagai kegiatan ekonomi yang meletakkan Bukit Bintang antara destinasi wajib dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya tahu itu berdasarkan pengalaman sebagai mantan Timbalan Menteri Pelancongan pada 2004 hingga 2006. Maka tidak hairanlah Malaysia diletakkan dalam kelompok 10 negara yang menjadi destinasi pelancongan di dunia.

“Pendapatan yang diraih melalui sektor pelancongan bukan calang-calang. Laporan Pencapaian 2019 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyebut seramai 20.1 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia sepanjang Januari hingga September 2019. Ia menjana RM66.1 bilion.”

Katanya, selain aktiviti ekonomi dan tempat menarik, turut mencuri tumpuan adalah persembahan muzik jalanan seperti Sentuhan Busker dan Retmelo Busker malah kumpulan ini amat dikenali oleh pelancong.

“Kegemilangan ini semuanya sebelum COVID-19. Pada saat ini, saya difahamkan Bukit Bintang tidak lagi seperti dahulu. Tidak banyak aktiviti dan suram. Mungkin disebabkan PKP ataupun kuasa beli yang terhad akibat kegawatan ekonomi.

“Semasa PKP 1.0 dan 2.0 yang lalu, dikhabarkan banyak perniagaan ditutup. Kerana ketiadaan pengunjung, pemilik tidak mampu menanggung sewa yang tinggi termasuk bayaran gaji pekerja. Untuk mengembalikan semula suasana itu, ia memerlukan masa,” katanya lagi.