LIMBANG: Seorang lelaki ditahan polis dan turut dirampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM500 ketika serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubok Piasau, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan dibuat dalam operasi bersepadu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Limbang bersama Pasukan Marin Limbang.

Jelasnya, suspek berusia 33 berasal dari kampung tersebut ditahan sekitar jam 2 petang di rumahnya. “Serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut tidak menjumpai apa-apa barang terlarang dan dadah.

“Namun hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta yang diparkir berdekatan rumah menjumpai sepeket besar plastik lut sinar dan sepeket plastik kecil lut sinar yang masing-masing disyaki mengandungi dadah.

“Dadah ditemui di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebelah pemandu,” katanya semalam.

Abang Zainal berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai Didi warganegara Brunei.

“Suspek mendapat bekalan dadah dengan cara berjumpa dengan lelaki terbabit di kawasan di kawasan sempadan. “Suspek menyatakan bahawa dia membeli dadah berkenaan di kawasan itu dengan harga RM500,”katanya.

Hasil saringan awal air kencing yang dilakukan kepadanya mendapati suspek positif dadah dan kini ditahan di lokap Balai Polis Limbang untuk siasatan lanjut. Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.