PERSATUAN AGENSI PELANCONGAN UMRAH & HAJI MALAYSIA (PAPUH), ingin merakam ucapan tahinah dan syabas kepada YAB. Perdana Menteri Malaysia, yang telah berjaya memperolehi tambahan 10,000 kuota haji, dari hasil pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Al-Yamamah, Arab Saudi baru-baru ini.

Ini menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 41,600 orang, berdasarkan peratusan kuota haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi untuk setiap negara iaitu pada kadar 0.1% daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Walaupun tambahan kuota haji ini hanya akan diluluskan selepas situasi haji kembali normal akibat pandemic Covid-19, rata-rata ahli kami amat bersyukur dengan pengumuman ini dan tidak sabar untuk memasarkan pakej haji swasta mereka kepada orang ramai. Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam perniagaan masing-masing selepas hampir setahun menutup operasi mereka. PAPUH yakin orang ramai tidak sabar untuk membeli pakej haji swasta walaupun pakej haji kali ini akan dikenakan dengan SOP yang ketat oleh Kerajaan Arab Saudi.

Bagi Haji tahun 2021, tiada pengumuman rasmi lagi dibuat oleh Kerajaan Malaysia untuk membenarkan rakyat Malaysia mengerjakan haji. PAPUH berharap Kerajaan Malaysia dapat mengumumkan dalam masa terdekat bagi membolehkan ahli-ahli kami memulakan segala operasi dan persediaan untuk pakej-pakej haji swasta mereka.

Sekiranya pengumuman kebenaran mengerjakan haji diumumkan lewat, PAPUH khuatiri bakal Jemaah Haji tidak dapat diberikan vaksin Covid-19 yang memerlukan masa 28 hari selepas dos pertama diberikan. Selain dari vaksin Covid-19, Jemaah Haji juga perlu mengambil vaksin Meningitis, Influenza dan Pneumokokal seperti yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Ini akan mengambil masa lebih dari sebulan bagi melengkapkan kempat-empat dos vaksin yang telah ditetapkan.

PAPUH juga berharap Kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada Hospital Swasta dan Klinik Swasta bagi membantu Kerajaan Malaysia mempercepatkan program vaksinasi nasional.

PAPUH menaruh harapan yang tinggi, agar Kerajaan Malaysia lebih prihatin untuk membuka pintu sempadan semula dengan SOP yang ketat. Ini akan membolehkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah mereka di bulan Ramadhan. PAPUH yakin rata-rata rakyat Malaysia rindu untuk ke tanah suci Makkah dan Madinah setelah hampir setahun tidak dapat berbuat demikian. Ahli-ahli PAPUH juga telah bersedia dengan menyediakan pakej Umrah Norma Baharu sekiranya pintu sempadan negara dibuka dengan mengenakan SOP yang ketat.

Sekian Terima Kasih

Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham SSAP, DIMP

Presiden PAPUH Malaysia.