Tuesday, May 11, 2021

Anjing gila ragut dua lagi nyawa di Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Wabak rabies atau penyakit anjing gila meragut dua lagi nyawa di negeri ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 52 dan 54 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu serta Hopsital Umum Sarawak (HUS).

“Ini merupakan dua kes pertama positif rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2021, menjadikan jumlah keseluruhan sejak ia diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 sebanyak 33 kes.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 31 kematian direkodkan dan hanya dua kes yang masih hidup masing-masing kanak-kanka dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya kes pertama iaitu lelaki 52 tahun meninggal dunia pada 8 Februari lalu.

“Beliau tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing namun pernah menangkap serta membunuh haiwan itu tanpa menyerahkan bangkai ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan,” ujarnya.

Bagi kes kedua, jelasnya mangsa pernah digigit anjing peliharannya pada 26 Disember di dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut.

“Keadaan kesihatannya juga merosot dan dilaporkan meninggal dunia di HUS pada 7 Mac akibat jangkitan rabies,” katanya.

Beliau menasihati semua rakyat Sarawak untuk mematuhi nasihat serta arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa, sementara Jabatan Kesihatan Sarawak akan terus memantau situasi semasa rabies di negeri ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru