SERIAN: Tiga lelaki ditangkap manakala rakan-rakan mereka yang lain berjaya melarikan diri selepas diserbu ketika sedang berjudi holo di belakang kedai makan Wak Badol di sini.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata serbuan Op Dadu itu dijalankan oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (TF-IPD) Serian kira-kira jam 3 petang pada Rabu.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan setelah pemerhatian dibuat, pasukan TF-IPD Serian telah membuat serbuan ke atas sekumpulan lelaki yang sedang leka berjudi holo.

“Menyedari kehadiran polis, kesemua lelaki tersebut telah melarikan diri namun tiga daripadanya berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya pasukan serbuan turut merampas peralatan judi holo yang digunakan termasuk wang tunai dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Sementara dalam serbuan berasingan, Aswandy berkata pasukan TF-IPD Serian turut menahan seorang lelaki kerana disyaki menjadi ejen menjual loteri haram.

Katanya suspek ditangkap kira-kira jam 5.45 petang di premis M.T 16 Jalan Serian/Sri Aman dan disiasat mengikut Seksyen 4A (a) ARJT 1953.

Aswandy berkata kesemua tangkapan serta rampasan telah dibawa ke IPD Serian dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi seumpana ini akan terus dipergiatkan untuk memastikan aktiviti perjudian dihapuskan,” katanya sambil menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ada aktiviti perjudian.