GEDONG: Kerajaan Sarawak akan mendedahkan Pelan Pemulihan Ekonomi PascaCovid-19 sebagai salah satu usaha mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johori Tun Openg berkata, pelan itu sedang dirangka yang dijangka mengembalikan peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya yakin ekonomi kita akan kembali seperti sediakala dengan adanya vaksin Covid-19. “Kita akan lakukan apa yang perlu untuk memulihkan ekonomi negeri ini,” katanya ketika merasmikan Projek Jiwa Murni sempena Hari ATM Ke-88 di Dewan Masyarakat Gedong, di sini baru-baru ini.

Tambah Abang Johari, selagi Kerajaan Sarawak dipimpin olehnya, ia mempunyai matlamat yang jelas bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Insya-Allah, kerajaan yang saya pimpin akan memberikan arah baharu agar kita mencapai sasaran menjadi negeri maju menjelang 2030 melalui apa yang digelar sebagai Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca-Covid-19.

“Jika dahulu, kita kenal musuh kita tetapi kini ia amat dahsyat kerana ia tidak kelihatan namun hampir melumpuhkan semua sektor,” ujarnya.

Hadir Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.