SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak perlu mengkaji semula pembinaan benteng sungai di pekan Simunjan yang berdepan hakisan dengan menggunapakaikan teknologi moden.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, percubaan membina benteng sungai dilakukan sebelum ini tetapi tidak berjaya kerana tanah gambut yang lembut.

“Maka, pembinaan benteng sungai juga tidak dapat menepati teknik kerana struktur tanah tidak kukuh. “Oleh demikian, kita membuat keputusan menilai semula struktur tanah dan kaedah tepat untuk membina benteng sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hakisan tanah di Pekan Simunjan di sini pada Rabu.

Tambah Abang Johari, unjaman untuk membina benteng sungai  di Pekan Simunjan perlu kukuh meskipun menelan belanja yang besar.

“Kita membina benteng sungai dari Pekan Simunjan hingga ke Kampung Sageng sepanjang 500 meter dengan kos RM100 juta. “Kita harap kerja pembinaan benteng ini dimulakan tahun depan menggunakan kaedah hidraulik,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain Simunjan, pembinaan benteng sungai dilaksanakan di Tambirat, Asajaya dan Sebuyau. “Pelaksanaan kedua-dua benteng sungai di Tambirat dan Sebuyau giat dilakukan yang masing-masing menelan belanja RM60 juta dan RM350 juta.

“Pembinaan kesemua benteng di tiga kawasan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sekiranya menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan ia agak lambat, jadi Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif untuk mengambil alih projek berkenaan.

Hadir sama Adun Simunjan Awla Dris, Adun Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, Adun Gedong Datuk Naroden Majais serta Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri.