KUCHING: Seorang lelaki warga emas yang merupakan seorang pesara kerajaan didakwa melakukan sumbang mahram terhadap cucu perempuan bawah umur dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan serta deposit RM2,000 tunai.

Mahkamah Khas Kanak-kanak Hakim Jason Juga, mengarahkan lelaki berusia 64 tahun itu tidak mendekati mangsa dan jika berbuat demikian mahkamah akan menarik balik jaminan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca dengan Seksyen 16 akta yang sama yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Tertuduh sebagai datuk kepada mangsa didakwa mendera secara fizikal mangsa dengan meletakkan bahagian kemaluannya di atas kemaluan mangsa bagi tujuan seksual.

Tertuduh disyaki melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Batu Kawa di antara 27 Julai 2020 hingga 4 Ogos 2020.