KUCHING: Rasuah dalam sektor awam boleh menyumbang kepada kepincangan sesebuah kerajaan untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat, sekali gus menghalang kepada pembangunan negara.

Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip berkata, usaha mengekang gejala rasuah telah menjadi salah satu elemen penting dalam setiap organisasi, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.

“Semakin tinggi budaya dan amalan berintegriti, semakin rendah kadar rasuah. Apabila rendahnya kadar rasuah, tahap kemajuan pembangunan semakin meningkat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Integriti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) dan Pra Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi Recoda 2021-2025 di Auditorium Menara LCDA di sini, pada Isnin.

Talib menambah, setiap individu mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan negara melalui integriti serta tadbir urus yang baik. “Tugas murni ini merupakan tugas bersama.

Proses membudayakan integriti serta tadbir urus yang baik memerlukan usaha yang berterusan dan mengambil masa yang panjang.  “Usaha menyebarkan secara meluas nilai integriti dalam kalangan masyarakat akan terus diperkasa.

“Ia menunjukkan maklum balas yang positif dalam kalangan masyarakat umum iaitu masyarakat kini jelas menunjukkan kepekaan mengenai isu integriti dan rasuah,” jelasnya.

Menurut Talib, inisiatif yang dilakukan oleh Recoda melalui sambutan Hari Integriti dan Pra Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi Recoda 2021-2025 jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat bebas daripada jenayah rasuah.

“Ini khususnya melibatkan penjawat awam Sarawak dan kita komited dengan visi untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju berintegriti tinggi pada tahun 2030,” tambahnya lagi.