Sunday, December 5, 2021

Ketua Menteri bawa berita gembira buat warga Simunjan

Secara Rawak

SIMUNJAN: Kunjungan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tun Abang Johari Tun Openg ke Simunjan pada Rabu membawa perkhabaran gembira kepada warga Simunjan apabila beliau mengumumkan pelaksanaan semula projek penahanan hakisan Sungai Simunjan.

Difahamkan, pada November tahun lepas, projek penahan hakisan Sungai Simunjan yang masih dalam pembinaan terjejas susulan fenomena air pasang besar dan arus deras.

Bercakap dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak hakisan projek penahanan hakisan Sungai Simunjan, Ketua Menteri memberitahu, projek pembangunan benteng hakisan yang memakan kos di antara RM80 hingga RM200 juta tersebut dijangka bermula pada tahun depan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, kajian terperinci mengenai struktur tanah dan teknologi yang digunakan bagi pembinaan benteng kawalan hakisan yang lebih kukuh dan efektif akan dilakukan.

“Kajian saintifik termasuk struktur tanah dan teknologi yang akan digunakan bagi pembinaan projek penahanan hakisan Sungai Simunjan akan dilaksanakan sebelum kita memulakan kerja-kerja bina semula benteng hakisan ini.

“Ini kerana, projek benteng hakisan yang sepanjang kira-kira 500 meter itu mempunyai beberapa komponen binaan yang lebih kukuh,” jelasnya.

Terdahulu beliau bersama rombongan tiba di Simunjan sekitar jam 10.40 pagi sebelum menghadiri taklimat pembangunan bertempat di Anjung Rehat Simunjan.

Selepas menghadiri taklimat tersebut, Ketua Menteri kemudian menyempurnakan perasmian Rumah Rehat Sri Simunjan.

Turut mengiringi rombongan Ketua Menteri adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais.

Hadir sama, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, ADUN Simunjan, Awla Dris, ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi Sarawak), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Manakala dalam program berasingan pada sebelah petang Rabu, Ketua Menteri telah menyempurnakan perasmian Projek Jiwa Murni di Dewan Masyarakat Gedong dan merasmikan Projek Senggaraan Masjid Al Kawthar, Kampung Gedong. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru