KUCHING: Kolej Universiti i-Cats bakal memiliki kampus sendiri dalam tempoh lima tahun, selaras dengan pengiktirafannya sebagai sebuah kolej universiti.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejajar dengan naik taraf itu, Kerajaan Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan di universiti terbaharu ini yang akan memfokus kepada pengembangan ilmu teknologi, merangkumi teknologi aero, penyelidikan dan kejuruteraan.

“Saya percaya dengan semangat, komitmen dan dedikasi pihak pengurusan dan warga kerja Kolej Universiti i-Cats semua, kita akan berjaya mencapai matlamat dan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negeri ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pengisytiharan Konvokesyen Ke-23 Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-Cats serta pelancaran naik taraf i-Cats menjadi sebuah Kolej Universiti di sini, pada Isnin.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Pengerusi Sarawak Skills yang juga Presiden dan Pro-Cancelor Kolej Universiti i-Cats Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

Menurut Abang Johari yang juga Cancelor Kolej Universiti i-Cats, beliau yakin Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-Cats boleh memainkan peranan sebagai penjana sumber tenaga mahir dalam pelbagai teknologi baharu termasuk pembangunan pengunaan gas hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin kepada ekonomi masa kini.

“Saya berbangga kerana i-Cats telah diiktiraf menjadi sebuah universiti kolej.  “Diharapkan lebih banyak program izajah, sarjana dan sarjana falsafah yang menepati keperluan negeri ini akan dilaksanakan dan ditawarkan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar Sarawak Skills dan institusi kumpulannya akan meneruskan agenda pendidikannya supaya menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu berkemahiran, menerapkan nilai murni dan lebih utama dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Sementara, Abdul Aziz dalam ucapannya berharap kampus Kolej Universiti i-Cats dapat didirikan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebidang tanah dan peruntukan perbelanjaan pembinaan kampus tetap Kolej Universiti i-Cats di kawasan Matang, Kuching,” katanya.