Sunday, December 5, 2021

4,010 penduduk dari Asajaya Tengah, Laut dan Ulu disekat pergerakan untuk pengesanan kes aktif

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Kira-kira seramai 4,010 orang penduduk dari tiga buah kampung di sini disekat pergerakan bermula semalam sehingga hari ini untuk pengesanan kes aktif (ACD) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) dibuat bagi menyekat pergerakan keluar dan masuk ke kampung-kampung berkenaan.

“Kami turut memantau penduduk bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh ACD dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan ACD selama dua hari di tiga buah kampung terbabit adalah diputuskan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian Samarahan.

Katanya tiga kampung terbabit ialah Kampung Asajaya Tengah yang mempunyai seramai 1,970 orang penduduk dan 312 buah rumah, Kampung Asajaya Laut (750 penduduk, 114 rumah) dan Kampung Asajaya Ulu (1,280 penduduk, 205 rumah).

 

“Hebahan mengeai pelaksanaan ACD juga sudah dibuat oleh Jabatan Penerangan Bahagian Samarahan,” katanya.

Sudirman menambah seramai 44 orang pegawai dan anggota polis turut ditugaskan untuk SJR mengikut syif.

Katanya lokasi SJR ialah di simpang SMK Asajaya, simpang utama Kampung Asajaya Ulu, simpang SK Asajaya, Jalan Asajaya Laut-Sambir, Jalan Asajaya Laut-Serpan, Jalan Asajaya Ulu-Jambatan Pekan Asajaya, Jalan Asajaya Ulu-Asajaya Lot dan Jalan Asajaya Laut / Jalan Asajaya – Sadong Jaya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru