Tuesday, July 27, 2021

Takdir dan rezeki bertemu ketentuan Allah SWT

Mesti baca

“Datuk Chamil kan?” sapa salah seorang daripada empat wanita yang sedang berbual rancak sewaktu saya menoleh ke arah mereka ketika makan tengah hari di Restoran Kari Kepala Ikan Mutiara Damansara (KKIMD) tengah hari tadi.

Mereka sedang menjamu selera makan nasi daun pisang di restoran milik Marlia dan suaminya, Anuar yang terletak bersebelahan dengan surau Mutiara Damansara.

Saya mengangguk.

“Saya Hasmah, dari UM,” sambungnya.

Saya masih ingat beliau.

“Oh, Dr. masih mengajar di Jabatan Pengajian Media?” tanya saya.

Ya, katanya.

 

Hasmah yang dimaksudkan itu ialah Datin Dr. Hasmah Zainuddin, seorang pensyarah di Jabatan Pengajian dan Komunikasi di Universiti Malaya (UM).

Seingat saya kali terakhir saya bertemu beliau kalau tak silap 14 tahun lalu pada 2007 sewaktu saya mengajar subjek Pelaporan Berita di jabatan tersebut.

Saya juga pernah mengajar subjek Isu-isu Antarabangsa di jabatan yang sama pada 1997. Ketika itu, ia dikenali sebagai Jabatan Penulisan Kreatif.

Setelah saya bertanya khabar mengenai beberapa orang pensyarah lain di jabatan itu yang saya kenali dan mereka ada yang sudah bersara atau berpindah ke universiti lain, Datin Dr. Hasmah kemudian memperkenalkan saya kepada tiga sahabatnya yang makan bersebelahan meja saya.

Mereka ialah Sue Kamal, Puan Zuraidah dan Puan Bashah. Mereka berempat adalah rakan bertadarus di Masjid Al-Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Sue ialah seorang peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kini menjadi anggota majlis Malaysia-Qatar Business Council; Zuraidah pula pernah bekerja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia; Bashah pula pernah mengetuai HELWA TTDI.

Benarlah seperti yang selalu dinyatakan oleh bijak pandai, takdir dan rezeki bertemu dengan orang yang pernah kita kenali, tetapi telah lama tidak berjumpa, bukan urusan manusia, tetapi urusan Allah SWT.

Malah orang yang tidak kita kenali mungkin mengenali kita dengan cara yang kita tidak pernah terfikir pun.

Ambil Sue Kamal sebagai contoh. Beliau mengenali saya melalui tulisan-tulisan saya di dalam akhbar sewaktu zaman beliau belajar.

Lebih menarik beliau juga rakan sekuliah dengan Muna Izzah Fadzil, anak perempuan mantan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Allahyarham Datuk Tuan Guru Fadzil Nor.

Sebagai wartawan, dengan bantuan rakan seperjuangan yang rapat dengan Allahyarham Datuk Fadzil Nor iaitu Allahyarham Subky Latif, saya pernah menemuramah mantan presiden PAS untuk akhbar Utusan Malaysia

Sedutan temu ramah itu, bersama dengan interviu saya dengan para pemimpin lain yang seangkatan dengan Allahyarham, dimuatkan dalam buku berjudul Pandangan Politik Era Mahathir yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti, anak syarikat Oxford University Press di Malaysia.

Subky pula mentor saya dalam bidang kewartawanan semasa di Utusan, Suara Rakyat dan Suara Merdeka.

Semasa Allahyarham kembali ke rahmatullah pada 23 Jun 2020, saya menghargai persahabatan kami dalam sebuah tulisan di akhbar Sinar Ahad, 28 Jun 2020.

enarlah juga kata orang, dunia ini kecil. Orang yang kita kenali atau mengenali kita, tetapi telah tidak bertemu sejak sekian lama, senantiasa berada di sekeliling kita.

Kita hanya kena ringan mulut untuk memulakan bicara apabila peluang terbuka.

Secara Rawak

Artikel Terbaru