Ini kisah benar. Biarpun pada hakikatnya agak keberatan untuk saya menceritakan kembali kisah pahit ini.

Kisah pahit ini berlaku dua kali ke atas hidup saya. Namun dalam selang masa yang agak lama.

Kira-kira 10 tahun yang lepas, saya berhenti kerja dari sebuah syarikat multinasional. Saya bekerja selama 10 tahun di syarikat tersebut dengan pendapatan yang agak memuaskan, sesuai dengan kelayakan yang ada.

Semasa berkhidmat di syarikat tersebut saya membina kehidupan. Saya berumah tangga. Ada rumah dan dua buah kereta.

Kami dikurniakan dua orang anak. Isteri saya bekerja sebagai penjawat awam dengan pendapatan biasa sahaja.

Jujurnya, saya bekerja dalam bidang yang bukan digemari. Saya selalu tertekan dan kurang keseronokan bekerja sejak hari pertama lagi. Namun saya berjaya memujuk hati sehingga mampu bertahan bekerja di syarikat tersebut selama sedekad lamanya.

Lama-kelamaan saya sudah tidak mampu bertahan lagi.

Akhirnya saya nekad untuk berhenti kerja. Tanpa berfikir panjang, saya menceburi perniagaan pemasaran langsung secara sepenuh masa.

Dengan berbekalkan duit tabungan RM40 ribu, saya mendabik dada dengan ‘membakar jambatan’ agar tidak lagi kembali sebagai pekerja makan gaji.

Saya pergunakan wang ini untuk modal dan digunakan juga untuk membayar komitmen bulanan yang tinggi ketika itu.

Tidak sampai setahun wang tersebut habis licin. Perniagaan entah ke mana. Tidak menjadi seperti apa yang dimimpikan.

Bermula dari episod ini, saya sudah menjadi lelaki yang paling pokai di dunia. Tiada wang simpanan dan tiada wang tunai dalam tangan.

Kereta saya kena tarik. Saya meminjam duit orang tua. Nafkah perbelanjaan keluarga saya abaikan kerana saya tidak berduit lagi.

Apa-apa barang di rumah termasuk komputer riba, peralatan video, rim kereta dan barangan sukan saya jual untuk dapatkan wang tunai.

Bahkan besi buruk, surat khabar lama, tin aluminium dan botol plastik turut dijual di kedai kitar semula.

Hasil jualan ini memang tidak mampu untuk menampung keperluan harian.

Saya cukup tertekan, malu dan rasa rendah diri teramat sangat. Tidur malam tidak lena dan makan sudah tidak berselera.

Hubungan dengan pasangan semakin menjauh, renggang dan retak menanti belah.

Namun saya bersyukur kerana anak-anak amat memahami saya. Mereka gembira seperti biasa. Cuma tidak seperti kanak-kanak yang lain sebaya mereka.

Kami makan apa yang ada. Pernah tiada beras, gas habis dan bil-bil utiliti memang tertunggak.

Saya akhirnya mengambil keputusan untuk kembali bekerja makan gaji dan melupakan seketika dunia perniagaan yang dijanjikan indah rupa dari khabar.

Pekerjaan pada kali ini tidak selumayan pendapatan saya sebelum ini. Keadaan hidup kami ala-ala kadar dan hanya mampu lepas untuk membayar pinjaman kereta dan rumah serta bil utiliti yang lain.

Kos hidup semakin meningkat. Anak-anak semakin membesar dan bertambah seorang lagi anak.

Saya bekerja lebih keras. Tidak mengharapkan satu sumber pendapatan. Saya berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian untuk menambah pendapatan.

Saya terpaksa ada dua pekerjaan dalam satu masa ketika itu. Adapun pendapatan tetap sangat sedikit dan pendapatan alternatif juga tidak menentu. Malah belum mampu menampung perbelanjaan harian.

Sekali lagi saya menjadi suami yang tidak berduit dan ayah yang belum mampu memberi kesenangan kepada anak-anak.

Saya terpaksa makan apa yang ada dan memberi laluan untuk anak-anak dan pasangan makan ikut kegemaran mereka. Sebab isteri yang menyediakan keperluan tersebut.

Pendapatan saya untuk membayar komitmen bulanan yang semakin hari semakin tinggi.

Lima tahun kemudian, sekali lagi saya nekad untuk mempertaruhkan masa depan dengan berhenti kerja makan gaji. Bekerja makan gaji tetapi pendapatan terlalu sedikit seperti tidak berbaloi.

Saya ambil keputusan untuk memberi sepenuh tumpuan masa kepada perniagaan dalam talian.

Bagai sudah dijangka, saya gagal lagi untuk kali kedua. Perniagaan dalam talian hanya memberi pendapatan yang teramat sedikit dan tidak menentu.

Tidak sampai setahun saya sebagai menjadi peniaga dalam talian sepenuh masa, tahap kewangan saya sudah nazak. Saya berada pada titik terbawah kehidupan.

Bil-bil utiliti sudah tertunggak dan panggilan telefon dari bank hampir setiap hari berbunyi kerana ada pinjaman bank yang tidak terbayar.

Saya seperti terjatuh dalam lubang yang sama kali kedua. Pengalaman pertama dulu sebagai lelaki paling pokai bagaikan tidak serik untuk saya.

Hubungan dengan pasangan sudah seperti telur di hujung tanduk. Akhirnya perpisahan berlaku juga. Apabila amarah sudah di kemuncak, saya dihiriskan dengan kata-kata. “tiada maaf bagimu.”

Saya disuruh balik kampung tanpa ada satu sen pun wang dalam tangan.

Dengan perasaan malu tidak terkata, saya terpaksa meminjam duit rakan-rakan untuk tambang pulang ke kampung.

Saya berjaya pulang kampung dan minta maaf dengan ibu.

Ya, ibu mana yang tidak sayang anaknya walau apapun berlaku terhadap kita. Baik susah atau senang.

Tidak lama berada di kampung, saya dapat tawaran bekerja lagi. Pendapatan jauh lebih baik dan saya bersyukur dengan apa yang ada serta menikmati yang apa dimiliki.

Kisah saya berhenti di sini. Saya berharap pembaca ambil iktibar bahawa tiada wang sama seperti tiada maruah bagi lelaki yang menjadi ketua keluarga.

Bukan bermaksud saya meletakkan wang mengatasi segala-galannya tetapi segala-galanya memang memerlukan wang.

Sentiasalah bersyukur dan menghargai rezeki serta peluang yang ada. Jadikan lelaki yang bekerja bersungguh-sunguh atau berniaga dengan serius agar maruah suami tetap mulia di mata isteri.

Maruah ketua keluarga dan tanggungjawab lelaki hanya berfungsi jika ada wang.

Tidak dapat banyak wang, mencukupi sudah memadai walaupun bukan yang terbaik.