KUALA LUMPUR:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  berkata, tohmahan bahawa agensi penyiasatan rasuah itu dijadikan senjata politik adalah tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana perkara itu dapat menjejaskan imej SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap agensi penyiasatan itu.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tohmahan daripada gabungan beberapa parti politik kononnya suruhanjaya ini telah dijadikan sebagai ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakannya,” kata agensi itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

SPRM turut menegaskan bahawa agensi penyiasatan itu bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang.

“Ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah agensi penyiasatan yang bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik,” jelas kenyataan media itu,” katanya.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan pada Jumaat, mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).