‘KUALA LUMPUR: Ketua Umno  Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menyindir Pakatan Harapan (PH) berkenaan kenyataan parti itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan agensi kerajaan sebagai senjata politik.

Katanya, sebelum ini sejak PH mentadbir negara mereka jugalah yang menggunakan agensi kerajaan untuk memeras musuh politik.

“Baru sekarang nak bantah penggunaan agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai senjata politik?

“Ia telah dilakukan semasa PH naik jadi kerajaan terhadap musuh politik dan untuk memaksa ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terutamanya,” katanya seperti dipetik portal Umno

Katanya, tindakan yang dilakukan PH terdahulu adalah cerminan kepada situasi yang berlaku oleh pentadbiran PN yang ditunjangi oleh PPBM

“Jadi apa hairannya apabila PPBM meneruskan tindakan yang sama?” tegas beliau.

Semalam PH menerusi kenyataan media mengecam penyalahgunaan agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap PN.

Parti itu turut mendakwa terdapat siri tindakan daripada agensi termasuk LHDN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain yang memberi tekanan terhadap ahli Parlimen pembangkang.