KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua parti komponen yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat ketika mereka berdepan ancaman Covid-19 dan PKP.

“Amat wajar semua parti komponen yang membentuk kerajaan PN memberi fokus bagi membantu rakyat dalam situasi yang penuh mencabar ini,” katanya melalui satu kenyataan di Facebbooknya.

Katanya, kalau kenyataan rasmi menyatakan sokongan kepada kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan, maka semua kenyataan lain mestilah selaras dengan pendirian kerajaan.

“Buktikan setia kawan dengan menjadi kawan yang setia. Kita telah tekad untuk membina penyatuan ummah, mari kita buktikan,” tegasnya.

“Pemimpinlah yang menggerakkan rakyat agar bersatu, bukan rakyat menyuruh pemimpin bersatu. Apakah ini sebahagian daripada norma baru? soalnya.

Hubungan antara Pas, Umno dan Bersatu menjadi persoalan selepas Umno menyatakan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Umno memeterai kerjasama dengan Pas menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) yang turut membabit parti-parti komponen BN.

Pas pula berada menyertai kedua-dua gabungan, iaitu PN dan MN.