SERIAN: Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal curi membawa padah selepas terserempak dengan polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Kampung Bunan Gega, pada Khamis.

Suspek berusia 38 tahun itu ditemui oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sektor B Batalion 12 sekitar jam 11 pagi sebelum ditahan untuk pemeriksaan oleh pasukan rondaan.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, motosikal terbabit disahkan motosikal yang dilaporkan hilang menurut pengesahan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian.

“Hasil semakan nombor pendaftaran oleh bilik Gerakan IPD Serian mengesahkan motosikal tersebut telah dilaporkan hilang bersangkut laporan Kota Samarahan 006225/20,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.