MUKAH: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menangkap udang di Sungai Kampung Kuala Oya di sini, pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku jam 1.00 pagi itu membabitkan mangsa, Alibaba Dahri, 52, berasal dari Kampung Bom Oya.

Kakak mangsa, Kartina Dahri, 53, berkata, insiden kira-kira jam 1.00 pagi itu disedari oleh nelayan lain berhampiran lokasi kejadian.

Semasa kejadian katanya, mangsa dipercayai berada di kawasan itu bersendirian.

“Nelayan lain yang tidak jauh dari situ tiba-tiba terdengar suara mangsa menjerit meminta pertolongan.

“Mereka kemudiannya bergegas mendapatkan Alibaba namun, dia sudah hilang sementara perahunya pecah dipercayai terkena libasan buaya,” katanya ketika dihubungi.

Kartina berkata, dia dan keluarganya masih terkejut kerana mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian terbabit.

“Saya mengenali Alibaba sebagai seorang adik yang baik dan peramah.

“Sementara kerja menangkap udang sudah menjadi sumber rezeki utamanya untuk menyara keluarga,” ujarnya.

Kejadian itu kemudiannya dilaporkan di Balai Polis Oya oleh abang mangsa sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.