KUCHING: Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Sosio Ekonomi secara maya di Wisma Sumber Alam.

Mesyuarat yang julung kali diadakan itu telah dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Sri Mustapha Mohamed.

Dalam mesyuarat tersebut, Datuk Amar Awang Tengah menekankan persetujuan kerajaan Sarawak mengenai skop yang ditetapkan dibawah jawatankuasa tersebut.

Selain itu, katanya, perkara berkaitan ekonomi, pendidikan dan kesihatan, infrastruktur dan pembangunan bandar serta wilayah juga perlu diwujudkan jawatankuasa teknikal khusus untuk melihat perkara-perkara yang dibangkitkan.

Datuk Amar Awang Tengah turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan pusat atas usaha bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak berkaitan ekonomi, kesihatan, kemudahan awam, borneosasi dan telekomunikasi terus terpelihara seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Turut serta dalam mesyuarat itu, Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.