KUALA LUMPUR: Merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang bertarikh 4 Mac lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan adalah atas kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat BN.

Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz memaklumkan telah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada pagi semalam bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu yang kurang tepat sebagaimana yang telah diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Maka setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya telah menggantung tugas Ketua Pegawai Media BN bagi tempoh satu bulan berkuatkuasa serta merta. Ini juga bagi membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” maklumnya dalam kenyataan media.

Kenyataan itu dikeluarkan di sebalik laporan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 nanti.

Sementara itu, di satu majlis di Parlis, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan agar semua parti politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), terus kekal bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Presiden Bersatu, bagaimanapun berkata ia terpulang kepada pimpinan parti masing-masing untuk menentukan pendirian yang sebaliknya

PAS  semalam mencabar Umno untuk membuktikan semangat setia kawannya sebagai rakan seperjuangan yang setia dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan demikian selepas gabungan parti itu menyatakan tekad untuk membina penyatuan ummah.

“Buktikan setia kawan dengan menjadi kawan yang setia. Kita telah tekad untuk membina penyatuan ummah, mari kita buktikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

“Pemimpinlah yang menggerakkan rakyat agar bersatu, bukan rakyat menyuruh pemimpin bersatu. Apakah ini sebahagian daripada norma baru? Soal beliau.