Saturday, December 4, 2021

Ini seruan untuk penduduk di Bintulu…

Secara Rawak

BINTULU: Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat menyeru seluruh masyarakat di bahagian ini mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Beliau yakin vaksin Pfizer-BioNTech selamat dan berkesan selain tidak mendatangkan sebarang implikasi yang teruk terhadap tubuh badan.

Pendaftaran, katanya, boleh dibuat secara manual menerusi borang Google yang terdapat di Pejabat Daerah, Klinik Kesihatan serta aplikasi MySejahtera.

Setakat ini, katanya, sebanyak 9,758 penduduk telah mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera bagi Daerah Bintulu.

Manakala, pendaftaran secara manual masing-masing 766 bagi Daerah Bintulu, 3,305 (Daerah Tatau) dan 3,952 penduduk telah mendaftar diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi Daerah Sebauh.

Tambah pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu itu lagi, pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera diadakan secara berterusan atau on-going.

Beliau, bagaimanapun, belum berpuas hati terhadap bilangan pendaftaran yang diterima ekoran pihaknya menyasarkan sejumlah 181,000 termasuk Daerah Tatau dan Sebauh.

Justeru, beliau menyeru orang ramai mendokong usaha untuk menentukan negara khususnya Bintulu akan bebas dari wabak Covid-19 dalam tempoh yang singkat.katanya.

Terdahulu, Jack disuntik vaksin Covid-19 , Pfizer-BioNTech di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) petang tadi.

Selain beliau, Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Adat Istiadat dan Undang-Undang Bumiputera) merangkap Adun Kakus, Datuk John Sikie Tayai, Adun Samalaju, Majang Renggi dan Adun Tanjung Batu, Chiew Chin Sing, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung turut mendapat suntikan sama.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili pula menjadi barisan hadapan anggota keselamatan pertama menerima suntikan itu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Bahagian Bintulu yang bermula petang tadi berjalan lancar serta patuhi prosedur operasi standard(SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru