KUALA LUMPUR: Pas menyeru parti-parti komponen kerajaan mengambil pengajaran daripada kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka perlu melihat semula asas kerjasama yang telah dibina sehingga terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, asas tersebut perlu menjadi panduan bagi membentuk persefahaman bersama dalam mengekalkan kerjasama parti tiga serangkai Melayu-Islam ini.

“Dengan meletakkan perpaduan Melayu dan Islam sebagai tunjang asas kerjasama, kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik kepartian serta peribadi, insya-Allah tidak akan berlaku pergeseran antara parti-parti komponen kerajaan.

“Sekiranya kerjasama gagal dibentuk di antara PAS, UMNO dan BERSATU, maka kemungkinan besar PH akan membentuk semula kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita semua perlu melihat bagaimana dahsyatnya PH memerintah selama 22 bulan ini. Jadi untuk mengelakkan tragedi ini daripada berulang kembali, saya berharap semua pihak dapat saling bertolak ansur untuk memastikan kerajaan PN ini dapat dikekalkan,” ujarnya  seperti dipetik Harakah hari ini.

Ianya berikutan tindakan UMNO menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU15.

Mengulas lanjut perkara ini, Kamaruzaman berkata, pihaknya yakin kerjasama yang baik dapat dibentuk dengan kematangan semua pihak meskipun terdapat percanggahan antara satu sama lain.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan hari ini, dalam kenyataannya menyatakan PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi UMNO, BERSATU dan PAS, bersama-sama rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara.