KUCHING: Sarawak terus menjadi lima teratas sebagai destinasi pelaburan di Malaysia dengan pelaburan bernilai RM19.6 bilion pada 2020.

Walaupun dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan kegembiraan kerana melihat negeri ini menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan.

“Dengan perancangan strategi jangka panjang dan berpandangan jauh, Sarawak mempunyai perbezaan persaingan jelas dan cadangan nilai yang ditawarkan untuk calon pelabur.

“Kami menyediakan tenaga yang boleh diperbaharui dan dipercayai kompetitif, infrastruktur penyambungan, infrastruktur pelaburan, dasar mesra perniagaan dan tenaga kerja yang kompeten dan terlatih,” jelasnya.

Beliau berkata pada majlis menandatangani lembaran terma antara Syarikat Sesco Berhad (SEB) dengan Malaysia LNG Sdn. Bhd di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam.

Mengulas mengenai perjanjian tersebut Ketua Menteri berkata, kolaborasi antara keduadua sumber tenaga strategik itu membolehkan Sarawak memainkan peranan penting dalam peralihan isu pemanasan global.

“Ia juga seiring objektif Perjanjian Iklim Paris sebagai landasan untuk pertumbuhan ekonomi dunia yang dijana tenaga mesra alam.

“Justeru, Sarawak dengan kekayaan sumber tenaga boleh diperbaharui serta keinginan tinggi menggunakan teknologi sebagai pemboleh yang membawa perubahan ke arah strategi pembangunan bagi mencapai negeri maju menjelang 2030,” tambahnya.

Beliau berkata, Strategi Pemulihan Ekonomi PascaCovid-19 Sarawak sehingga 2030 diumumkan pada awal Mei tahun lalu menggariskan dua prinsip utama, ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

“Ini berdasarkan kejayaan yang terbukti daripada strategi pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau mendedahkan Sarawak bakal mempunyai satu lagi sumber tenaga boleh diperbaharui apabila Projek Empangan Hidroelektrik Baleh yang berkapasiti 1,285 megawatt dijangka beroperasi pada 2026.

“Pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi tenaga hidro besar satu lagi tanda pentingnya tenaga hidro dalam penciptaan ekonomi hijau dan makmur menjelang 2030,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian antara SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Sharbini Suhaili dengan MLNG yang diwakili pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Mohamed Syazwan.

Turut hadir Ahli Lembaga Petronas Datuk Ibrahim Baki, Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.