Sunday, December 5, 2021

RM30 juta bantuan: 9,000 pelajar Sarawak dapat manfaat

Secara Rawak

KUCHING: Sehingga 9,000 bekas pelajar anak Sarawak mendapat manfaat daripada RM30 juta pembayaran balik PTPTN oleh Kerajaan Sarawak.

Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata Kerajaan Negeri melalui Yayasan Sarawak menyerahkan cek berjumlah RM30 juta apabila memberi manfaat sehingga 9,000 pelajar Sarawak yang layak setelah tapisan dilakukan oleh pihak PTPTN.

“Inisiatif ini hanya layak bagi pelajar yang telah membayar sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman PTPTN mereka.

“Kemudian Yayasan Sarawak akan membayar 30 peratus daripada baki pinjaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan cek RM30 juta kepada PTPTN yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Justeru, Azmi berharap agar pelajar yang layak menikmati inisiatif ini untuk meneruskan pembayaran baki pinjaman mereka kepada PTPTN.

Sementara itu Ahmad Dasuki berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak ini merupakan usaha proaktif kerana merupakan satu-satunya Kerajaan Negeri yang bertindak sedemikian dengan memperuntukan jumlah yang cukup besar.

“Semoga pelaksanaan inisiatif ini dipermudahkan dan peminjam-peminjam yang merupakan anak-anak Sarawak yang terlibat menerima inisiatif ini sekali gus mengurangkan beban kewangan yang mereka tanggung,” jelasnya.

Tambahnya, sewajarnya inisiatif Kerajaan Sarawak itu dipuji dan menjadi ikutan serta contoh kepada Kerajaan Negeri lain dalam membantu rakyatnya membayar baki hutang pinjaman PTPTN.

“Usaha ini juga dilihat amat sesuai ketika pendapatan dan kewangan rakyat terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

“PTPTN berharap Kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha yang dibuat oleh PTPTN bagi membudayakan pembayaran balik untuk kesinambungan pinjaman kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru