Tuesday, July 27, 2021

Pengalaman saya menulis buku pertama

Mesti baca

“Entah macam mana, terjumpa buku-buku ini dalam koleksi lama saya,” itulah pesanan ringkas yang saya terima daripada YB Dr. Abdul Aziz Bari pada 20 Januari lalu.

YB Aziz pernah menjadi ahli majlis mesyuarat negeri Perak selepas Perikatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya negeri itu pada Mei 2018.

Sebelum itu, beliau adalah seorang profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bersama pesanan tersebut, beliau mengirim dua imej buku berjudul Dilema Pemuda UMNO, edisi pertama dan edisi kedua.

Edisi pertama diterbitkan pada 1976 manakala edisi kedua pada 1985.

Apa yang menarik ialah YB Aziz memiliki hampir kesemua buku politik karangan saya yang saya tulis selepas itu yang dibelinya sewaktu beliau menjadi pensyarah undang-undang di UIAM.

Maknanya, beliau adalah seorang pembaca buku politik yang tegar. Beliau sendiri telah menulis beberapa buku ilmiah berkaitan Majlis Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru apabila beliau terjun ke dunia politik untuk menjadi calon pilihan raya umum, saya tidaklah terlalu terkejut. Cuma yang menjadi kejutan – itu pun sedikit sahaja – adalah parti politik yang beliau pilih.

Tetapi pilihannya itu adalah hak beliau seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Saya menghormatinya.

Dilema Pemuda UMNO adalah buku pertama saya yang dikarang bersama dengan allahyarham Subky Latif.

Sebagai pemberita, saya sebenarnya banyak berguru dengan Subky sewaktu kami sama-sama bekerja di bawah satu bumbung di Utusan Melayu, Suara Rakyat, Suara Merdeka.

Edisi pertama buku tersebut tidak ada dalam simpanan saya.

Justeru, apabila YB Aziz Bari menghantar kulit buku itu saya menyatakan terima kasih kepadanya dengan catatan: “Buku 1976 YB. Saya baru belajar tulis buku. Tolong arwah Subky Latif.”

Itulah pengalaman awal saya menulis buku, tetapi apabila dilihat kembali, tiga atau empat bab yang saya tulis untuk Dilema Pemuda UMNO sebenarnya berbentuk penulisan rencana ala komentar.

Tidak banyak kajian mendalam yang saya lakukan kerana kekangan waktu dan desakan penerbit, Amir Enteprise milik Harun Hassan (allahyarham) yang ingin buku itu segera diterbitkan. Sebab itu, saya dan Subky mengagih-agihan bab-bab yang hendak kami tulis.

Saya kemudian difahamkan bahawa sebahagian besar buku itu dibeli oleh Tan Sri Jaafar Albar untuk memperkenalkan dirinya bertanding jawatan nombor satu dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Politik UMNO waktu itu panas. Orang tertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi. Dilema Pemuda UMNO cuba mengungkapkan apa-apa yang berlaku.

Waktu itu berlaku krisis kepimpinan dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berikutan pemecatan Datuk Harun Idris yang juga Menteri Besar Selangor sebagai ketuanya setelah beliau didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah.

Harun adalah seorang pemimpin pergerakan itu yang popular.

Penyingkirannya yang dilihat sebagai tindakan politik kerana beliau menentang Tun Abdul Razak, kemudiannya Tun Hussein Onn, tidak dapat diterima oleh sebahagian besar penyokong Harun di dalam UMNO.

Kerana kelantangannya mengktirik pimpinan UMNO, Pemuda UMNO di bawah pimpinan Harun pada waktu itu pernah dianggap sebagai “parti dalam parti” oleh Tun Dr. Ismail, ketika itu timbalan presiden UMNO.

Untuk menyisihkan Harun, Razak pernah menawarkannya sebagai Duta ke Bangsa-bangsa Bersatu. Harun menolak tawaran tersebut.

Selepas Tun Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976, Hussein yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Pemangku Presiden UMNO tidak memberi muka kepada Harun.

Beliau menjatuhkan Harun sebagai Menteri Besar mengikut undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Selangor, selain mendakwa beliau di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Kedudukannya di dalam Pergerakan Pemuda UMNO pun berakhir berikutan tindakan-tindakan tersebut yang mendapati Harun bersalah kerana menggunakan sumbangan politik daripada sebuah bank untuk membina kolam renang di rumah peribadinya di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Maka berlaku kekosongan kepimpinan di dalam Pemuda UMNO Malaysia.

Mohamad Rahmat (allahyarham Tan Sri), selaku naib ketua, enggan memangku jawatan yang ditinggalkan oleh Harun sementara menunggu pemilihan pergerakan itu diadakan bagi memilih kepimpinan baharu. Beliau memilih untuk kekal sebagai naib ketua sahaja.

Calon pilihan ramai menggantikan Harun dalam kalangan Pemuda UMNO, Musa Hitam (Tun), yang pernah menjadi naib ketua Pergerakan Pemuda UMNO sebelum Mohamad Rahmat, juga enggan dicalonkan menggantikan Harun.

Dalam keadaan itu, sekonyong-konyong muncul Tan Sri Jaafar Albar menawarkan diri sebagai calon ketua.

Ketika itu, beliau berusia 63 tahun. Kecuali untuk jawatan ketua, keanggotaan Pemuda UMNO adalah untuk mereka yang berusia 40 tahun dan ke bawah. Peraturan itu bererti Jaafar Albar layak untuk bertanding.

Para penyokong Harun segera memberi sokongan padu kepada Jaafar Albar yang dilihat sebagai seorang pemimpin yang lantang untuk berhadapan dengan Hussein Onn dan boleh diharapkan untuk mengekalkan perjuangan Pemuda UMNO Malaysia sebagai kumpulan pendesak di dalam parti.

Dalam pemilihan pada 1976 itu, Jaafar Albar dengan mudah telah menewaskan Mohamad Rahmat yang dilihat tidak lebih sebagai proksi Tun Hussein Onn.

Suhaimi Kamaruddin, ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor dan anak saudara kepada Harun Idris, pula terpilih sebagai naib ketua kepada Jaafar Albar.

Pemilihan mereka sedikit sebanyak telah menyejukkan suhu politik dalam Pemuda UMNO dan UMNO itu sendiri.

Bagi memudahkan penceritaan, Dilema Pemuda UMNO ditulis secara kronologi mengikut kepimpinan pergerakan tersebut, bermula dengan Hussein Onn, Razak Hussein, Sardon Jubir, Senu Abdul Rahman, Harun Idris serta ulasan mengenai krisis yang berlaku selepas pemecatan Harun.

Sebahagian besar maklumat yang digunakan untuk penulisan adalah penceritaan dalam kalangan mereka yang pernah menjadi ketua pergerakan itu serta beberapa orang lain yang pernah bergerak secara aktif dalam sayap kanan UMNO itu.

Pada 1985, dengan persetujuan Subky, saya telah mengemas kini Dilema Pemuda UMNO dengan menulis tiga bab tambahan memperihalkan pemuda UMNO di bawah kepimpinan Jaafar Albar, Suhami Kamaruddin dan Anwar Ibrahim.

Wajah Anwar, lukisan pelukis tersohor Azman, menghiasi kulit buku tersebut.

Edisi kedua diterbitkan oleh Media Intelek Sdn Bhd, milik sahabat saya, Azran Rahman.

Pengalaman mengemaskini Dilema Pemuda UMNO kemudiannya saya gunakan sebagai dorongan untuk saya terus menulis buku-buku politik bercorak kewartawanan.

Saya akan mencatatkan pengalaman menulis buku-buku tersebut dalam tulisan lain nanti.

Secara Rawak

Artikel Terbaru