MUKAH: Pihak Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) melalui satu notis memaklumkan pasar minggu di daerah berkenaan akan beroperasi semula pada 6 Mac ini (Sabtu).

Pembukaan tersebut melibatkan Pasar Tani Daro dan Tian, Pasar Minggu, Pasar Malam Tanjung Manis dan Pasar Penjaja Pantai Kuala Matu. Bagi semua peniaga dan penjaja, ini merupakan berita gembira buat mereka untuk memulakan kembali perniagaan terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

Susulan itu, MDMD menggariskan beberapa syarat perlu dipatuhi oleh penjaja dan orang awam terutama dalam aspek pematuhan garis panduan (SOP) sepanjang berada di semua pasar berkenaan.

“Kita akan beri kompaun terhadap Jawatankuasa Pasar masing-masing dan orang awam sekiranya ada dalam kalangan mereka gagal mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegas kenyataan tersebut.

Selain itu, peniaga dari luar Daerah Matu dan Daro tidak dibenarkan untuk berniaga di semua tapak pasar di kawasan seliaan MDMD buat sementara waktu ini.

Bagi pembukaan pasar minggu yang lain bagi kawasan kampung pula, peniaga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada MDMD untuk memulakan operasi perniagaan.