KUCHING: Sebanyak 92 peratus ibu yang bersalin sehingga 21 Februari tahun ini mendapat Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450 daripada Kerajaan Sarawak sepanjang tempoh mereka berpantang.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 3,846 ibu yang bersalin dalam setakat 21 Februari tahun ini dan 3,538 telah mendapat BIB.

“Pada tahun lalu, kita berjaya memberi 81 peratus BIB kepada golongan sasar iaitu 23,564 daripada 29,272 ibu bersalin,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Tambah Fatimah, bagi Endowment Fund Sarawak (EFS) pula, sebanyak 84 peratus atau 3,170 bayi mendapat manfaat daripada kelahiran 3,796 orang setakat 21 Februari 2021.

“Bagi tahun 2020 pula, seramai 26,478 bayi atau 85 peratus daripada jumlah kelahiran 31,176 mendapat EFS. “Pada tahun 2019, seramai 26,731 bayi atau 80 peratus daripada jumlah kelahiran 33,304 orang mendapat EFS,” jelasnya.

Katanya lagi, bagi KGC sebanyak 544 permohonan diterima setakat 21 Februari tahun ini.

“Berikutan pandemik Covid-19, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,629,105.44 bagi penyaluran pertama, kedua, ketiga dan keempat kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk melaksanakan program bekalan makanan (bakul makanan) bernilai RM100 kepada ketua keluarga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“JKM perlu mendapatkan profil penduduk (maklumat asas penduduk) mengikut kampung atau sesuatu kawasan penempatan khasnya kawasan berisiko tinggi dari Pejabat Residen, Daerah, Penghulu, Ketua Kampung atau komuniti tempatan bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana terutamanya bagi jangkaan awal keperluan bencana,” ujarnya.