SEPANG: Cubaan menyeludup durian Musang King melalui KLIA berjaya dihalang pada Selasa oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurut Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim pada Khamis, pemeriksaan rutin 12.30 tengah hari mendapati empat kotak dibawa lelaki tempatan itu mengandungi 16 biji durian seberat 56 kilogram.

Durian bernilai RM6,000 itu dipercayai dihantar kepada majikan di Indonesia dan rampasan dilakukan kerana suspek gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi.

Tindakan mengeksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisme tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama, denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.