KUCHING: Kawasan Kuching mempunyai sekitar 1 juta penduduk dan dikatakan sepatutnya memiliki sekitar 1,000 bas.

Namun hari ini, hanya terdapat kurang 100 bas beroperasi berbanding 1980-an terdapat 300 hingga 400 bas dengan penduduk hanya 200,000 orang ketika itu.

Pengarah Urusan HENZ Pacific Sdn. Bhd. Henry Lai berkata, pengangkutan awam merupakan tulang belakang sesebuah bandar, justeru sistem pengangkutan awam di negeri ini termasuk khidmat bas perlu dipertingkatkan.

Bercakap pada Majlis Pelancaran Bas Elektrik (e-Bus) yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Selasa, Henry berkata mengambil model Singapura dan London sistem pengangkutan awam sangat efisien dengan jumlah penumpang sekitar 70 peratus.

Pada majlis tersebut, Abdul Karim melancarkan khidmat bas elektrik percuma julung kalinya di Borneo dan mencatat sejarah sebagai yang pertama di Malaysia.