KUCHING: Sebelas pegawai dan anggota polis yang ditahan susulan kes rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri pada Januari lepas mungkin berdepan tindakan diturunkan pangkat atau dibuang kerja.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata buat masa ini, pertuduhan sudah dibuat ke atas semua mereka yang terlibat namun tindakan belum diputuskan lagi.

“Sekarang kami masih menunggu Bukit Aman membuat pelantikan Lembaga Tatatertib untuk mengambil keputusan ke atas mereka, sama ada dibuang kerja atau diturunkan pangkat dan sebagainya.

“Ini bagi 11 mereka yang terlibat, yang dua lagi pegawai sudah diambil tindakan ditahan kerja dan akan menghadapi kes di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya sebelum ini dilaporkan berkata kesemua 11 pegawai dan anggota terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati gagal serta cuai menjalankan tugas.

Zamri berkata pihaknya menerima dua laporan polis iaitu laporan pertama dibuat oleh seorang anggota polis yang melibatkan kejadian rogol, manakala laporan kedua dibuat oleh mangsa rogol yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada kecuaian polis.

Beliau menambah seorang lelaki berumur 19 tahun dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Januari lalu, manakala bagi laporan kedua pula, kedua-dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap itu ditahan kerja bermula 14 Januari dan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.