KUCHING: Kadar jenayah di Sarawak berkurangan sebanyak 1,063 atau 60 peratus dalam tempoh Januari hingga 28 Februari tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata sebanyak 1,766 kes dilaporkan tahun lepas manakala tahun ini cuma 723 kes.

“Mungkin pengurangan kes ini ada kaitan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila orang ramai tidak dibenarkan merentas daerah atau zon.

“Kawalan pergerakan ini mungkin memberi sedikit kesan kepada kadar jenayah terutama melibatkan harta benda,” katanya pada sidang media sempena Majlis Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.