Saturday, December 4, 2021

Isu Sajjad: Pihak berkuasa tak bertindak tegas?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Isu kontroversi membabitkan usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman seolah-olah mencerminkan agensi penguatkuasaan yang terlibat tidak bertindak tegas dalam membendung amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata isu membabitkan Sajjad serta kes yang serupa dengannya bukan hal baru malah ia berleluasa tanpa tindakan tegas dan penguatkuasaan yang ‘berani’ demi masa depan.

“Apa juga alasan birokrasi atau alasan kaedah yang sedia ada, bagi saya buat masa ni ianya jelas tidak memartabatkan dari segi reputasi, malahan mengundang persepsi negatif pula.

“Bagi saya soal Sajjad ni akan menjadikan bangsa dan agama lain memandang rendah pada Islam dan pada agensi serta institusi penguatkuasaan yang sepatutnya menjalankan tugas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Malah Amin yang juga  Ketua Pemuda UMNO Damansara berkata amalan gaya hidup songsang LGBT ini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ianya bukan hanya ancaman kepada Islam dan Melayu malahan kepada bangsa dan agama lain.

Menurutnya, ini kerana kesan jangka panjang gejala songsang ini akan merosakkan akidah, pembentukan sivik dan moral generasi masa depan.

“Ini bukan soal kita tidak terbuka atau tidak mengikut peredaran zaman, tetapi dari segi asas pembentukan dan pengukuhan kekeluargaan jelas melangar norma asas azali manusia.

“Bayangkan jika kita tidak bertegas dari sekarang, 10 tahun lagi Malaysia ada ribuan generasi seperti Sajjad… apa akan jadi pada anak cucu kita dan apa akan jadi kepada pelapis masa depan Malaysia?

“Jadi agensi yang sepatutnya memainkan peranan harus lebih bertegas dan jika usaha yg baik itu berjaya dilaksanakan pastinya rakyat akan sama bantu dan sokong usaha-usaha yang lain juga,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru