KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak kecewa dengan tindakan bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Larry Sng keluar parti dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam pihaknya mengadakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan AMK Sarawak Isnin lepas berikrar untuk terus berpegang teguh dengan prinsip perjuangan parti serta menyokong penuh kepimpinan Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan pada Selasa, Saifunnizam berkata pengunduran Larry tidak menjejaskan kepimpinan parti di peringkat negeri dan percaya ramai lagi ahli MPN yang berkebolehan memimpin parti di Sarawak.

“AMK Sarawak yakin rakyat Malaysia akan menggunakan sebaiknya kuasa yang ada pada mereka untuk menghukum dan menentukan nasib petualang dan pengkhianat pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau.