Tuesday, July 27, 2021

Politik katak: Katak si katak lompat

Mesti baca

Sebaik sahaja Ahli Parlimen Julau mengumumkan beliau keluar dari PKR dan menyokong kerajaan PN, segera beredar video beliau berucap di rumah panjang. 

Dalam video itu, beliau memperlekehkan tindakan wakil rakyat yang melompat parti. Malah, dalam ceramah di ruai rumah panjang itu, beliau menyelar mereka yang menjadi katak politik.

Katak politik ialah ahli politik yang  melompat ke parti lain.

Jadi sekarang, adakah Larry Sng juga dapat digolongkan sebagai katak politik?

Ketika seseorang itu melompat parti, dia akan memberi pelbagai justifikasi atau alasan untuk menghalalkan tindakannya.

Bagi parti asal, tindakan itu dianggap sebagai pengkhianatan, tetapi bagi yang melompat, mereka tidak akan bersetuju dengan istilah politik katak atau kata politik yang dilabelkan terhadap mereka.

Label itu hanya sesuai untuk orang lain. Apabila terkena batang hidung sendiri atau sendiri yang melakukannya, ia tidak lagi dianggap politik katak.

Sebaliknya, tindakan itu dianggap sebagai penghijrahan. Ya, atas nama rakyat.

Larry punya alasan tersendiri. 

Keputusan meninggalkan PKR dan menyokong PN adalah demi memenuhi aspirasi pengundi serta menunaikan janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah  menerima akuan bersumpah (SD) daripada  Ahli Parlimen Julau, Larry Sng  dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon .

 Ini mengukuhkan kedudukan PN, daripada 109 kepada 111, sebaliknya menghakiskan kedudukan pembangkang daripada 108 kepada 106.

Larry Sng yang telah berada dalam arena politik selama 20 tahun sejak 2001 berkata ini keputusan itu dibuat selepas melihat prestasi PN yang berada di landasan yang betul.

“Selepas berbincang dengan ahli kawasan serta penyokong saya, kami percaya ia keputusan baik demi Julau yang merupakan kawasan paling miskin dalam negara ini, seiring dengan aspirasi kerajaan hari ini.

“Jadi kita boleh memenuhi janji yang dibuat semasa PRU dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka,” katanya dalam satu klip video.

Justeru, katanya ini merupakan masa terbaik dalam memberi sokongan kepada PN selain beliau turut berharap lebih banyak pemimpin pembangkang lain melakukan perkara sama.

Seyogia diingat, Larry pernah berada dalam PBDS, PRS, Parti Pekerja Sarawak, sebelum menyertai PKR dan dilantik sebagai ketua pKR Sarawak.

Malah, termasuk yang terbaharu, beliau telah menjadi wakil bebas sebanyak tiga kali.

Jadi, adakah anda hairan beliau melakukan lompatan? Atau adakah anda juga hairan jika beliau menyertai parti lain selepas ini?

Pada Disember lalu Larry Sng melepaskan jawatan Pengerusi PKR Sarawak untuk membolehkan parti itu dipimpin pemimpin Dayak sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12)..

Sng dalam kenyataan berkata, keputusan itu demi kepentingan PKR Sarawak memandangkan majoriti penduduk Sarawak ialah orang Dayak.

“Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak, namun kita dapati kawasan termiskin dan mundur di negeri ini berada di kawasan Dayak.

“Orang Dayak juga kurang mewakili kepimpinan tertinggi sama ada dalam parti pemerintah mahupun pembangkang, misalnya presiden dan pengerusi parti daripada PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak); PDP (Parti Demokratik Progresif); SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak); PKR; DAP; PSB (Parti Sarawak Bersatu); PBK (Parti Bumi Kenyalang); AMANAH (Parti Amanah Negara) semuanya orang Melayu atau Cina walaupun parti mereka banyak disokong orang Dayak,” katanya ketika itu.

Namun, ia ditolak oleh Majlis Kepmimpinan Tertinggi PKR.

Namun, khabar angin bertiup kencang pertengahan Februari lalu bahawa beliau akan keluar parti. Namun seperti biasa, beliau menepis khabar angin itu.

Sesungguhnya, dalam politik, tiada angin pokok takkan bergoyang.

Seyogia diingat, di bawah sistem demokrasi, seseorang itu boleh memilih untuk mengasosiasikan dirinya dengan mana-mana parti politik.  Maknanya, dia dibenarkan untuk melompat parti walaupun kini PKR mengancam untuk menyaman RM10 juta terhadap wakil rakyat mereka yang melompat parti.

Rakyat perlu terima hakikat bahawa mereka hanya mempunyai kuasa untuk memilih atau mengundi wakil rakyat mereka. Kelihatannya, selepas menang calon yang dipilih itu dapat lakukan apa-apa sahaja, termasuk melompat parti.  Dengan kata lain, mereka tidak lagi dapat mengawal tindakan mereka yang sudah menang.

Bagaimana perasaan pengundi yang memilih calon berkenaan waktu pilihan raya dulu? Adakah mereka merestui tindakan itu? Atau itu sesuatu yang menjengkelkan? 

Secara Rawak

Artikel Terbaru